Pendidikan Anak Melayu Terjejas, Fahmi Selar Pengurusan Negara

Kerajaan semalam mengumumkan bahawa pemberian biasiswa bagi permohonan baru JPA tidak lagi akan diteruskan. Bahkan, ramai yang tidak sedar, pinjaman MARA untuk ijazah sarjana kedoktoran, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda sudah dihentikan sejak tahun 2015 lagi. Ini bakal menjadikan lambakan pelajar-pelajar Melayu berhenti belajar disebabkan tiada pinjaman pelajaran kecuali PTPTN.

Menurut Ketua Biro Mahasiswa AMK, Fahmi Zainol juga mengakui pemohon biasiswa My Brain 2015 juga belum menerima kata putus walaupun permohonan sudah dibuat sejak bulan Ogos lalu.

“Keputusan biasiswa ini dikatakan akan keluarkan pada bulan November, tetapi ditangguh kepada Januari. Akhirnya ditangguh sehingga Februari. Bagi pemohon, ini sesuatu yang membimbangkan,” ujar beliau.

Majoriti penerima biasiswa JPA, My Brain serta MARA merupakan pelajar Melayu.

Beliau yang juga pemegang biasiswa JPA dengan kesal menyifatkan bahawa kerajaan bukan sahaja telah mengkhianati anak Melayu, malah membunuh masa depan mereka.

Perkara sama berlaku ketika krisis ekonomi melanda negara pada 1998, namun hanya pelajar yang mendapat biasiswa JPA dipanggil pulang ke Malaysia. Manakala pinjaman MARA diteruskan seperti biasa.