Persidangan terbesar Asia Tenggara menghimpunkan minda terbaik untuk merangka hala tuju seterusnya dalam pembangunan modal insan.
Kuala Lumpur, 30 Oktober 2023 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melancarkan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Upacara tersebut dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia, Tuan V. Sivakumar.
Berlangsung dari 30 hingga 31 Oktober 2023 di MITEC, Kuala Lumpur, NHCCE 2023 merupakan kesinambungan kejayaan NHCCE 2022, yang menerima sambutan luar biasa daripada delegasi dari rantau Asia Tenggara.
Dengan tema baharu, ‘Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’, NHCCE 2023 bertujuan membantu organisasi dan para pengamal sumber manusia berada di hadapan tuntutan yang sentiasa berubah dalam tempat kerja moden. Ini adalah penting kerana organisasi di Malaysia dan Asia Tenggara menghadapi pelbagai gangguan dalam membentuk dinamik tempat kerja.
Mengambil langkah lebih proaktif, NHCCE 2023 menampilkan rangkaian penceramah yang unggul dengan lebih daripada 30 pemikir terkemuka dalam bidang modal insan dunia, pengamal sumber manusia yang berfikiran progresif, serta pakar subjek seperti Ghanim Al-Muftah, seorang usahawan warga Qatar, penstrim dalam talian serta filantropis dengan sindrom regresi kaudal; Dave Ulrich, yang sering diangkat sebagai bapa sumber manusia moden; Eric Termuende, seorang pemikir terkemuka yang diiktiraf secara global, Dr. Justin Cohen, seorang penceramah antarabangsa yang terkenal dalam kalangan penceramah; turut bersama adalah pemimpin industri tempatan seperti Datuk Nora Manaf, Ketua Pegawai Kumpulan Modal In san Maybank; Frank Koo, Ketua Bahagian Asia – Penyelesaian Bakat & Pembelajaran LinkedIn dan Luanna Sieh, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan CIMB.
Sepanjang dua hari akan datang, para penceramah akan memimpin perbincangan yang mendalam mengenai cabaran pembangunan modal insan moden dari perspektif antarabangsa dan tempatan. Perbincangan akan berdasarkan lima (5) topik utama yang merangkumi lima (5) pilar iaitu Teknologi & Inovasi, Kepimpinan & Pertumbuhan, Motivasi & Kesejahteraan, Pembelajaran & Pembangunan, dan Tenaga Kerja Dinamik & Tempat Kerja Masa Depan. Perbincangan ini akan memberikan pandangan yang baharu serta holistik terhadap pembangunan modal insan, memperkasakan para pengamal sumber manusia untuk mengambil peranan lebih strategik dalam organisasi masing-masing.