Tahun 2017 menyaksikan era kebangkitan data besar (big data) dan sains data di Malaysia. Berikutan pengumuman demi pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dalam menyokong pembangunan sains data, trend permintaan sains data di Malaysia semakin meningkat setiap tahun.
Sehubungan dengan itu, MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation) bersama-sama dengan GE (General Electric) telah mengadakan satu inisiatif baharu untuk memajukan lagi pembangunan bidang sains data di Malaysia. Dianjurkan pada hari semalam, 28 Februari 2017, bertempat di Bangsar South, program tersebut dinamakan sebagai ADAX – ASEAN Data Analytic eXchange. Program ini dirasmikan dengan ucapan pendahuluan oleh Ir. Dr. Karl Ng, pengarah Bahagian Ekonomi Data MDEC dan dibentangkan oleh Raymond Liau, pengarah Asia Pasific GE Digital.
ADAX yang dijangka akan dilancarkan pada sekitar bulan hadapan bakal menjadi sebuah hub utama yang menghimpunkan para penganalisis data besar di Malaysia melalui pelbagai program yang dirangka termasuklah pameran teknologi, perkongsian data bertujuan latihan dan juga sokongan syarikat-syarikat baharu yang berfokus pada sains data.
Salah satu usaha ADAX untuk memajukan industri sains data ini adalah dengan memperkenalkan Predix, sebuah platform atas talian (online cloud platform) yang mampu menempatkan sejumlah data yang besar dan mempercepatkan pembangunan aplikasi yang berkonsepkan IOT (Internet of Things). Konsep IOT perindustrian ini digunakan untuk menghubungkan peralatan atau mesin dan menyimpan data seperti suhu dan tekanan. Data yang terkumpul akan digunakan untuk menggambarkan keadaan semasa peralatan tersebut dan mengoptimumkan penggunaannya.
Seramai 11 orang saintis data ditempatkan di ADAX untuk membantu melancarkan aktiviti-aktiviti tersebut. ADAX menyeru supaya syarikat-syarikat di Malaysia menggunakan teknologi ini untuk mendapat pelbagai kelebihan yang dihasilkan daripada implementasi sains data ini.