Hiburan

Ip Man – Legend is Born

IP MAN 3 kali ini kembali dengan filem kung fu membuka mata yang sarat dengan aksi hebat dan pantas pada waktu yang sama diselitkan plot penceritaan yang menerangkan nilai cinta terhadap keluarga yang sangat tinggi sehingga mampu menyentuh hati penonton. Filem arahan Wilson Yip ini mengisahkan tentang kehidupan sederhana seorang petarung kungfu legenda yang mempunyai sejarah silam, Ip Man (Donnie Yen) tinggal bersama isterinya Cheung-Wing Sing (Lynn Hung) dan anak kecilnya, Ip Ching di sebuah pekan. Plot bermula apabila Ip Ching terlibat dalam pergaduhan sekolah dengan Cheung Fong yang merupakan seorang anak penarik beca Cheung Tin-Chi (Zhang Jin). Cheung Tin juga merupakan seorang ahli kung fu aliran Wing Chun dan telah melibatkan diri dalam pertempuran haram demi mencari duit untuk mengejar cita-citanya untuk membuka akademi.

Pelakon jemputan, Mike Tyson memainkan watak sebagai Franky, seorang pemaju tanah dan juga seorang street fighter. Franky telah mengupah sekumpulan gangster untuk menceroboh dan mengambil alih sebuah sekolah. Filem ini menjadi lebih menarik apabila Ip Man terpanggil untuk melawan kumpulan gangster yang ingin mengambil alih sekolah tersebut yang juga merupakan sekolah anaknya. Cerita ditambahkan pula apabila Ip Man perlu berhadapan dengan Cheung Tin yang merupakan aliran Wing Chun yang sama untuk merebut gelaran Grand Master.

Anda boleh merasai dan raikan aksi dan adegan pertempuran yang penuh dengan sentakan hebat dan pergerakan yang pantas dan tajam masing-masing ditonjolkan oleh Donnie Yen dan Zhang Jin. Adegan slow motion untuk beberapa gerakan aksi para petarung serta banyak babak ‘satu lawan satu’ menjadikan ia satu filem pertarungan yang sangat menarik dan tidak ingin dilepaskan.

Karakter utama yang lain selain Ip Man ialah watak Cheung Tin-chi dibintangi Zhang Jin. Watak yang dimainkan oleh Zhang Jin dalan filem Ip Man 3 ini merupakan watak yang agak kompleks, iaitu melakonkan sebagai karakter antagonis namun bukanlah sebagai watak jahat yang utama. Beliau cemburu dengan pencapaian yang dimiliki Ip Man namun beliau tidaklah membenci atau berniat jahat terhadapnya.Cheung dilihat sebagai seseorang yang beintegriti dan perlu melalui kehidupan yang pahit namun tetap tabah untuk mencapai impiannya.

Cerita ini menjadikan ia lebih mendebarkan apabila Ip Man mendapat tahu isterinya menghidap kanser dan mampu untuk hidup selama 6 bulan sahaja lagi pada plot pengakhiran.

Filem Ip Man 3 ini tidak melibatkan keganasan atau pertempuran yang melampau dan menyentuh tentang nilai pengorbanan dalam kecintaan terhadap keluarga menjadikan ia amat sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga atau semua lapisan masyarakat. Ip Man, menjadi simbol seorang suami yang tenang dan lembut, ayah yang penyayang, dan seorang petarung kungfu yang dihormati dan mahir. Tiada pelakon yang lebih baik untuk bermain watak ini selain daripada Donnie Yen.

Komentar

To Top